Adatlah, kalau manusia namanya pasti melakukan kesilapan. Tetapi kesilapan itu dapat dipadam apabila seseorang itu memohon kemaafan terhadap insan yang telah disakiti. Permohonan kemaafan juga mestilah terbit dari hati yang suci dan ikhlas tanpa desakan dan paksaan disusuli pula dengan tindakan pembetulan yang sewajarnya agar kesilapan yang sama tidak berulang kembali.
Sebenarnya bukannya susah dan tidak sukar untuk meluahkan kata-kata kemaafan kepada seseorang. Tetapi mengapa kata-kata itu sukar untuk diluahkan? Mengapa anda biarkan orang yang disakiti itu: "Paham-paham sendiri le..."atau selepas menyakiti seseorang, dengan selambanya anda boleh bersembang dengan insan itu seperti biasa umpama tidak ada apa-apa yang berlaku atau dengan rasa tidak bersalah mengatakan; "aku tak salah, buat pe nak mintak maaf?!"
Sesungguhnya, hal-hal yang sedemikian rupa jelas menunjukkan anda punya penyakit hati. Nampak kecil, tapi tidakkah anda sedar bahawa api yang kecil ini bila besar menjadi lawan. Walaubagaimanapun ia boleh menjadi kawan...Kawan kepada siapa? Kawan kepada sang IBLIS LAKNATULLAH yang sombong dan bongkak, yang merasakan diri hebat dan sempurna. Lantaran dengan sifat yang sedemikian rupa, bila berbuat salah kepada Allah, sedikit permohonan ampun langsung tidak dipohon kepada Rabb yang Maha Esa, yang Maha Pengampun...Sesungguhnya mereka dan keturunan mereka serta puak-puak mereka memang tergolong dalam golongan yang sombong dan tempat mereka tidak lain dan tidak bukan adalah di neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya..
Tidak kira berbuat salah kepada sesiapapun di dunia ini, sama ada manusia sesama manusia, Allah mewajibkan seseorang itu memohon kemaafan darinya, berbuat dosa kepada Allah lebih-lebih lagi wajib seseorang itu untuk mohon keampunan dariNya. Cuba anda fikirkan, sedangkan manusia inipun, yang anda boleh nampak dengan mata kasarpun susah, berat mulut, berat hati untuk anda melahirkan rasa insaf, melafazkan kesilapan diri.....Inikan pula dengan Allah.....
Perlu diingat! Kalau sesama manusia pun berat mulut dan merasa malu untuk merendahkan ketinggian diri untuk bermohon ampun dan maaf....apatah lagi dengan Allah yang kita tak nampak akan Dzatnya...lebih-lebih lagi kita ni sebenarnya menyombongkan diri.. Kalau kita benar-benar tidak sombong kepada Allah, dengan manusia juga kita tidak sombong, tidak angkuh, tidak berlagak malah tidak rasa segan dan malu untuk memohon kemaafan...
Dan perlu diingat lagi...kalau anda berbuat baik kepada Allah, pastilah dengan sesama manusia juga anda berbuat baik.. Jangan merasakan hubungan anda dengan Allah cukup hebat tetapi sesama manusia asyik suka berdebat, tak mengaku kesilapan diri dan tak pernah rasa diri bersalah....Fikir-fikirlah wahai kawan-kawan semua....