Wednesday, 5 February 2014

Pengalaman Percutian Ke Palembang, Indonesia.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana inilah kali ke dua kaki dijejakkan di tanah seberang.  Lebih kurang 5 tahun yang lalu, pengalaman bercuti dan melancong di Medan merupakan suatu kenangan yang sangat mahal dan manis untuk dikenang.  Kali ini, diri nak merasa pengalaman di negeri lain pula iaitu Palembang.

Ketika mula-mula semasa nak membeli tiket penerbangan ke Palembang, terfikir juga tentang apa yang ada di negeri sejarah ini. Ketika belajar sejarah dahulu, sering kedengaran nama Palembang disebut-sebut dengan Kerajaan Sriwijaya.  Maka, sebagai persediaan untuk bercuti, semestinya saya meng'google' tempat sejarah ini terlebih dahulu sebagai bekalan ilmu. Sedikit-sebanyak, dapat juga membantu apabila sampai di tempat orang ini.

Alhamdulillah, dengan menaiki pesawat Air Asia, lebih kurang pukul 8.30 malam, telahpun selamat tiba ke destinasi yang dituju. Alhamdulillah, sampai sahaja di Airport Sultan Mahmud Badaruddin II, kami sekeluarga menaiki teksi untuk ke hotel yang telah ditempah secara online ketika di Malaysia.  Kos teksi di sini boleh dikira tidaklah terlalu mahal.  Harga lebih kurang RP 100,000 (lebih kurang RM28) untuk ke Hotel Emilia. Kira okaylah tu.

Sebaik sampai sahaja di hotel, kamipun 'check in'. Ruang hotel memang best, cantik dan selesa. Terpana dengan dekorasi di dalam bilik hotel ini. Sangat selesa, cantik dan harganya pula sangat murah dan berbaloi. Harga utk 4H3M cuma RM470 sahaja.  Memang boleh disarankan kepada sesiapa yang mahu menginap di sini.  Cuma, khidmat Spa sahaja yang belum ada, kerana saya difahamkan bahawa hotel ini adalah hotel yang masih baru.

Pemandangan Hotel Dari Luar

Di Lobi Hotel Emilia

Ruang Kamar 

Ruang Makan dan Dapur (Maaf, aksi ini sengaja diadakan oleh ayah saya)

Selepas rehat sekejap, kamipun mulakan operasi meredah di sekitar hotel ini.  Untungnya menginap di sini, adalah kerana tempat ini berdekatan dengan pusat membeli belah, kedai makan, tempat teksi, kedai-kedai dan banyak lagi.  Untuk perjalanan pertama kami di sini, kami telah meneroka ke Palembang Indah Mall atau orang sini memanggil dengan panggilan 'PIM'.  Kalau nak dikira, macam okay jugalah nak membeli-belah di sini, banyak juga barangan jenama antarabangsa yang dijual. Namun mata saya tertumpu kepada Butik Kosmetik Martha Tilaar.  Memang jenama ini popular di Indonesia. Maka, belek punya belek, mata dan hati telah terberkenan dengan beberapa barangan kosmetik ini, dan tanganpun terambil juga akhirnya sebagai ole-ole untuk di bawa pulang.

Antara Barangan Pilihan Hati -PAC-

Dah penat berjalan dan meredah, perutpun terasa lapar. Cari-cari makanan halal. Akhirnya terjumpa juga. Dekat sahaja dengan hotel yang kami menginap dan hampir juga dengan PIM. Harga, lebih kurang macam di Malaysia. Mereka menyediakan menu untuk tatapan pelanggan. Maka, dengan ini, memudahkan kami untuk memilih dan mengira budget supaya tidak ditipu.  Selalunya, susah nak jumpa kedai-kedai makanan di Indonesia ni menyediakan menu dan sebut harga. Pengalaman sebelum ini, jika selesai makan sahaja, kena bayar dengan bayaran yang tidak masuk akal. Namun, di sini, Alhamdulillah, mudah dan rasa pun okaylah. Nama yang pelik-pelik tu memang perlu dipertanyakan kepada pelayan.

Restoran Makanan Halal.

Menu - Harga lebih kurang di Malaysia sahaja

Selepas makan malam, kami pun pulang ke hotel untuk beristirehat, Sambung untuk hari keesokannya.

Hari Ke-Dua Di Palembang

Untuk hari kedua ini, kami sekeluarga sangat berkobar-kobar untuk memulakan pengembaraan di sekitar Palembang ini.  Jiwa ini banyak nak tahu suasana, pemandangan, tempat membeli-belah, harga barangan yang ditawarkan, budaya serta orang-orang di sini.

Pertama, menjejakkan kaki di sini, boleh dikatakan bahawa agak sukar untuk membezakan orang-orang mereka dengan orang-orang kita, kerana wajah mereka ini tidak jauh beza dengan kita.  Hampir sama sahaja, Yang membezakan adalah apabila dengar mereka berbicara.  Walaubagaimanapun ada juga bahasa-bahasa  dan loghat mereka yang hampir sama dengan tempat kita.  Ada kalanya macam bunyi orang Negeri Sembilan bercakap. Mungkin mereka ini orang-orang Kepulauan Sumatera, di mana orang-orang Negeri Sembilan pun kebanyakannya mempunyai salasilah dari kepulauan ini. Contohnya seperti  orang Minangkabau dan Melayu Riau. Mungkin sebab itu, kesamaan dalam loghat itu ada. Memang unik dan ini juga suatu ilmu yang berharga yang diperoleh ketika berada di sini.

Setelah bersarapan dengan teh hijau bancuhan sendiri di bilik hotel, kami pun berangkat ke Pasar 16 dengan menaiki teksi.  Teksi ini berdekatan dengan hotel penginapan kami. Teksi di sini memang boleh dipuji kerana kondisinya sangat bagus, cantik dan bersih.  Meter pun ada. Dengan itu, tak perlu risau untuk ditipu.  Teksi yang dimaksudkan adalah teksi Blue Bird. Teksi ni bewarna biru macam warna biru kereta Gen-2.

Di Pasar 16 ini, boleh dikatakan "Petaling Street" bagi Palembang. Macam-macam ada. Harga pun murah.  Siapa yang pandai tawar-menawar lagilah untung.  Murah lagi murah. Ada kasut, baju, kain lace, kain telekung, rempah -ratus, buah salak, barangan dapur, makanan, dan banyak lagi boleh diperoleh di sini. Nak baju set blazer dan seluar pun ada. Murah je. RM70 satu set. Cantik dan berkualiti serta jahitan pun kemas. Memang berbaloilah.

Di Pasar ini juga, terdapat binaan yang menjadi tempat kebanggaan bagi negeri ini iaitu Jambatan Ampera. Di waktu siang, kelihatan biasa sahaja, namun jika diwaktu malam, jambatan ini akan dihiasi dengan cahaya lampu. Kelihatan persis jambatan di Itali pula.  Di Malaysia, mungkin jambatan ini dipandang sepi, namun di Palembang ini, Jambatan Ampera merupakan lambang kemegahan masyarakat di sini.

Setelah hampir setengah hari mengesat peluh dan menjamu mata di Pasar 16, perut pun berbunyi tanda untuk diisi. Makan di tempat malam tadi sahaja.  Selepas tu, balik hotel, rehat dan solat sekejap sebelum memulakan perjalanan ke Palembang Square pula.

(Gambar-gambar  suasana Pasar 16 terdapat dalam DSLR, masih belum berkesempatan untuk dimuatnaik di blog ini. Insya-Allah beberapa hari lagi akan dimasukkan di blog ini)

Palembang Square atau dipanggil Pe'Es merupakan pusat membeli-belah yang masyhur di sini. Seronok juga berjalan di sini, Terdapat butik-butik baju yang menjual pakaian yang cantik sangat dengan harga yang murah. Namun, saya tahan hati ini untuk tidak membazir.  Di rumah dah banyak baju.  Saya hanya mencari benda yang mungkin tiada di Malaysia. Di sini juga, kami pergi ke salun untuk spa wajah, rambut dan khidmat manicure. Murah je. Best!

Pasaraya Masyhur di Palembang

Buat Rawatan Wajah-Pakai Mask Lilin

Harga Servis Spa

Tempat Rawatan Kuku

Tengah Buat Manicure - RM11.20 Sahaja

Shopping di JM - Murah!! Shawl yang cantik cuma RM16.80
Kalau harga biasa RM25-29 di Malaysia

Food Stall : Pempek Ekspress - Makan Khas Orang Palembang

Terjumpa pula dengan roti marshmallow. Macam comel je.

Lepas selesai beli roti comel ni, kami pun makan malam, dan balik ke hotel untuk istirehat. ZZZZZ

Hari Ke- Tiga Di Palembang

Hari ini cadangnya nak pergi ke tempat tinggalan sejarah, namun tak tahulah kenapa berat sangat nak pergi.  Mungkin keletihan akibat jalan tanpa henti semalam. Walaubagaimanapun, bapa yang pergi. Katanya pergi ke Bukit Seguntang. Rupa-rupanya Bukit Seguntang ini merupakan tempat kuburan bagi mereka yang telah melakar sejarah Palembang. Patutlah rasa berat nak pergi, sebab saya memang jenis tidak gemar melawat tempat perkuburan.

Baiklah, dipendekkan cerita, lebih-kurang pukul 12.00 tgh, kami semua bertolak ke Nyenyes. Tempat ini, adalah untuk mereka yang ingin mencari barangan surviner yang berkualiti. Mahal juga baju-baju di sini. Selain baju, ada juga key chain, buku nota comel, tanjak Palembang, Sticker dan lain-lain.

Tempat Jualan Cenderahati yang Berkualiti

Senyum Tak Perlu Kata Apa-Apa

Antara Barangan Yang Di Jual.

Perjalanan hari ini sampai petang sahaja, kerana malam, saya mengumpul bahan dan menyusun kata untuk ditulis di blog ini sampailah rasa mengantuk. Insya-Allah, sambung esok pula. Selamat Malam. 




HELLO SEPTEMBER!!

HELLO SEPTEMBER!!
SEPTEMBER OFFER!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...